Khamis, 7 Februari 2013

HUkUm MenJuaL TuDunG YaNg TidAk mEnuTup AuRat


                        




Menjual tudung yang sempurna bukaannya, elok tebalnya dan saiznya namun kemudian pembeli menggunakannya secara tidak sempurna dan membuka aurat, jelas hukumnya bukan ditanggung oleh penjual. Ia adalah tanggungjawab pembeli sendiri. Malah terdapat juga pembeli yang membeli tudung nipis untuk dipakai bersama tudung lain agar ia menjadi tebal. Ini juga sukar ditentukan kecuali jika si pembeli sememangnya sudah terlihat cara pemakaiannya semasa membeli. Takala itu sebahagian ulama berfatwa adalah haram menjual pakaian yang tidak menutup aurat kepada pembel yang kita sudah ketahui dengan jelas akan menggunakan di khalayak ramai, sebahagian ulama lain mengatakannya makruh. 

Perbincangan para ulama dalam hal ini boleh dilihat semasa perbahasan tentang hukum menjual anggur kepada pembeli yang sudah diketahui akan menggunakan anggur itu untuk pembuatan arak. Ulama yang menyatakannya sebagai harus tetapi makruh adalah Imam Abu Hanifah dan sebahagian ulama mazhab Shafie. Mereka berpandangan adalah makruh menjual anggur kepada pembuat arak dan menjual senjata kepada golongan yang berperang dengan umat Islam kerana keyakinan sahaja belum tentu akan terlaksana. 

Ini adalah berdasarkan kaedah/formula fiqh: ‘Seseorang itu dihukum berdasarkan niatnya'. Dr Ramadhan Hafiz Abd Rahman menyebut ulama mazhab Syafie berpandangan demikian hasil kefahaman mereka dari apa yang disebutkan oleh Imam As-Syafie berikut:-

أكره بيع العصير ممن يعصر الخمر

Ertinya : "Aku benci penjualan anggur kepada mereka yang memerah untuk dijadikan arak"[3]
Dalam erti kata lain, penjual tersebut menjual anggur serta mematuhi segala syarat-syarat jual beli Islam. Apa yang akan dilakukan selanjutnya oleh pembeli adalah di luar bidang urusan penjual. Namun sekiranya penjual itu ketika berlakunya aqad jual-beli berniat jahat untuk menjual dengan tujuan menyumbang kepada kerosakan dan kejahatan yang akan dilakukan oleh pihak pembeli, maka niatnya adalah haram atau maksiat tetapi aqad tersebut tetap sah. Contohnya barang yang dijual dan disembunyikan kecacatan (‘aib) barangan tersebut, di mana hukum ke atas aqad tersebut adalah satu perkara dan kesan daripada aqad tersebut adalah perkara yang lain. Al-Shirazi mengatakan: "Makruh (yukrah) menjual anggur untuk dibuat arak, kurma untuk dibuat arak (al nabiz) dan menjual senjata kepada golongan yang memusuhi Allah. Ini adalah kerana penjualan tersebut dianggap membantu ke arah maksiat. Sekiranya dijual kepada golongan tersebut, jual beli tersebut dianggap sah, kerana bukanlah penjual yang menghasilkan arak, dan bukanlah dia memerangi Allah dengan senjatanya. Kesimpulannya, sekiranya anda bersangka agak kuat bahawa pembeli tidak akan menggunakannya untuk menutup auratnya dengan baik, maka jualan itu menjadi makruh.

1 ulasan:

hanihanafi berkata...

Terima kasih atas perkongsian ilmu...

Www.hanihanafi.blogspot.com